Sunday, July 31, 2011

Salam Ramadhan Al-Mubarak 1432 Hijrah

Aku belajar...

Aku belajar DIAM dari banyaknya BICARA,

Aku belajar SABAR dari sebuah KEMARAHAN,

Aku belajar KESUSAHAN dari hidup SENANG,

Aku belajar MENGALAH dari satu KEEGOISAN,

Aku belajar MENANGIS dari suatu KEBAHAGIAAN,

Aku Belajar KEIKHLASAN dari KEPEDIHAN,

Aku belajar TAQWA dari KEKUFURAN,

Aku belajar TAWAKKAL dari UJIAN,

Aku belajar REDHA dari satu KETENTUAN..

Saturday, July 30, 2011

Zaitun dan kelebihannya...


"Demi buah tiin dan zaitun. Dan Gunung Tursina". (Surah at Tiin ayat 1 dan 2). Allah telah menyebut di dalam Al Quran berkenaan dengan buah zaitun. Ini menunjukkan buah zaitun juga memiliki banyak keistimewaan tersendiri yang jarang diketahui dan diselidiki. Di dalam Al Quran, buah zaitun disebut sebanyak 7 kali di mana sebanyak 2 kali, ia di sebut bersendirian dan 5 kali lagi ia digambarkan dalam Al Quran bersama dengan buah- buahan lain seperti tamar, delima, anggur dan buah tiin. Gambaran ini menunjukkan betapa banyaknya khasiat buah zaitun sepertimana buah- buahan lain yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.

Buah zaitun atau nama botaninya dikenali sebagai olea europea ditanam di kawasan Meditranean tetapi tempat penanaman yang paling utama ialah Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Di dalam surah an Nur ayat 35 juga Allah menyebut tentang buah zaitun yang mana ulama seperti Maulana Majid, Maulana Maudoodi, Maulana Usmani, Maulana Haqqani dan Abdullah Yusuf Ali memberi pentafsiran dan pandangan yang sama merujuk kepada tempat dan taburan penanaman buah zaitun.

Dunia moden pada hari ini, melalui kajian- kajian sains semasa mengiktiraf khasiat buah zaitun. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan. Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. Menurut Tarmizi dan Ibn Majah, Nabi Muhamad SAW bersabda, " Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati".

Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai "monounansaturated" yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar- pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford melihat perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang. Didapati bahawa negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur- sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. Dalam Annals of Oncology (10 Januari 2005) menyatakan pakar- pakar sains mendapati diet Meditranean yang kaya dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser payudara kerana kandungan ‘oleic acid' yang terdapat didalamnya. Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walaubagaimanapun, semua jenis minyak zaitun akan melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Di samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai ‘laxative' dan menyingkirkan cacing di dalam badan.

Melihat kepada keadaan dan tahap kesihatan masyarakat kita sekarang, penyakit jantung yang dikenali sebagai pembunuh secara senyap semakin meningkat. Namun begitu, pengambilan minyak zaitun mungkin dapat mencegahnya kerana ia kaya dengan bahan ‘phenol'. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi di samping mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah seseorang daripada menghidapi penyakit jantung. Di samping itu, mutakhir ini, manfaat minyak zaitun untuk kecantikan seringkali dihebahkan di dada akhbar mahupun media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat kosmetik yang menggunakan minyak zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam pembuatan barangan kecantikan. Oleh itu, sememangnya kelebihan minyak zaitun tidak dapat dinafikan lagi.

Kelebihan minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat dengan kehidupan kita di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.

Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi akan keistimewaan buah zaitun yang daripadanya boleh menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan teknologi yang ada pada masa kini untuk kegunaan ramai. Sehubungan dengan itu, daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda "Ambillah minyak zaitun dan sapulah ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga Juzam (kusta)".
Dengan ini, tidak hairanlah, ramai yang mengetahui akan kelebihan buah zaitun, memanfaatkannya sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut, barangan kecantikan, sabun dan juga dijadikan sebagai makanan tambahan. Justeru, khasiat yang terdapat pada buah zaitun merupakan anugerah Allah ke atas hamba- hambaNya yang amat bernilai untuk dimanfaatkan kerana bukan sahaja buah zaitun disebut di dalam Al Quran, malah pakar- pakar sains dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.

Friday, July 29, 2011

Cuba kita fikirkan ayat-ayat cinta ini....


Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya KITA DAPAT MENJADI PENILAI YANG BAIK.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa KITA HANYALAH MAKHLUK YANG SENTIASA MENGHARAPKAN PERTOLONGAN ALLAH.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya KITA DAPAT KASIH SAYANG YANG TERBAIK, KHAS UNTUK DIRI KITA.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya KITA SEDAR BAHAWA ALLAH MAHA PEMURAH & PENYAYANG kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya KITA DAPAT MENGUTIP PENGALAMAN YANG TAK SEMUA ORANG BERPELUANG UNTUK MENGALAMINYA.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya KITA JADI MANUSIA YANG HEBAT JIWANYA.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya KITA LEBIH FAHAMI BAHAWA CINTA YANG TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH.

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya KITA LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YANG TAK SELAMANYA KEKAL.

Saturday, June 4, 2011

8 penyakit yang boleh sembuh dengan berjalan kaki

selatanonline


Jika anda selama ini malas untuk berjalan , fikirkanlah kembali. Menurut satu kajian, berjalan boleh mengurangkan lapan jenis penyakit. Malah boleh menyembuhkan penyakit tanpa harus mengeluarkan wang.

Mulai sekarang rajin-rajinlah berjalan dan rasakan manfaatnya. Berikut 8 jenis penyakit yang boleh disembuhkan dengan berjalan yang bertumpu pada kaki tersebut.


1. Serangan Jantung : Berjalan boleh mengurangkan risiko serangan jantung. Otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras (dari pembuluh koroner ) agar segar dan berfungsi normal mengepam darah tanpa henti.

Berjalan dengan cepat boleh mengalirkan darah ke dalam jantung. Dengan sering berjalan , kolesterol baik (HDL) yang bekerja sebagai spans penyerap kolesterol (LDL) akan meningkat dengan berjalan kaki tergopoh-gopoh.

Tidak banyak cara di luar dapat mengubat seperti ini. Berjalan dengan cepat boleh menurunkan risiko serangan jantung.

2. Stroke : Satu kajian dilakukan kepada 70 ribu pesakit di Harvard School of Public Healthyang bekerja sambil berjalan kaki sebanyak 20 jam dalam seminggu, hasilnya risiko diserang stroke menurun hingga dua pertiga.

3. Membakar Lemak : Rutin berjalan kaki akan meningkatkan metabolisme tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang oleh aktiviti berjalan kaki, kelebihan kalori yang tersimpan di dalam tubuh akan ikut terbakar,

kemudian kenaikan berat badan tidak terjadi.

4. Melangsingkan Badan : jika anda kelebihan berat badan, mulailah untuk rutin berjalan Pergerakan kaki hingga seluruh tubuh mampu menurunkan berat badan dan lemak yang ada terutama diperut anda akan terkikis. Lakukan berjalan kaki secara rutin selama satu jam.

5. Kanser : Gejala kanser akan lenyap dengan sendirinya jika kita rajin jalan kaki. Kanser yang dimaksudkan adalah jenis kanser usus besar (colorectal carcinoma).

Kita tahu, bergerak badan ikut melancarkan peristaltik usus, sehingga buang air besar lebih lancar. Kanser usus dicetuskan oleh najis tertahan lama dalam saluran pencernaan. Sementara dalam satu kajian lain, berjalan boleh menurunkan risiko terkena kanser payudara.

6. Mencegah Osteoporosis : Sering berjalan bukan hanya otot-otot badan menjadi sihat, rangka atau tulang di dalam tubuh anda juga akan menjadi sihat dan kuat.

Osteoporosis tidak cukup hanya dengan rutin mengambil vitamin D dan kalsium yang banyak, tubuh juga memerlukan gerak badan dan memerlukan waktu paling kurang 15 minit dibawah sinar matahari pagi dan anda akan terhindar dari osteoporosis.

7. Mencegah Kencing Manis : Dengan rutin berjalan kira-kira 6 km per jam, dalam tempuh sekitar 50 minit, mampu mencegah berkembangnya diabetes tipe 2, khususnya pada mereka yang bertubuh gemuk (National Institute of Diabetes and Gigesive & Kidney Diseases).

Selagi gula darah boleh dikawal hanya dengan cara bergerak badan (brisk walking), ubat tidak diperlukan. Anda hanya memerlukan berjalan secara rutin untuk terus menjaga kesihatan badan dan terhindar dari diabetes.

8. Depresi : Berjalan kaki dengan cepat boleh menggantikan ubat anti depresan yang biasanya diminum secara rutin oleh pesakit depresi. Mulai sekarang, rajinlah berjalan kaki akan menyembuhkan pesakit yang tengah depresi.

Monday, May 23, 2011

Siapa bertanggungjawab terhadap Lynas


SM Mohamed Idris

Loji Lynas di Kuantan akan menjadi satu lagi mimpi ngeri. Lanthamide (nadir bumi) dari Australia yang akan diimport oleh Lynas ke Malaysia mengandungi thorium dan uranium, di mana pemperosesan di Kuantan akan menghasilkan sejumlah besar sisa radioaktif.

Seterusnya, ada sesuatu yang tidak kena dengan seluruh proses kajian semula terhadap loji Lynas. Terdapat dua proses kelulusan yang berasingan iaitu Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (MNRE) dan Penilaian Kesan Radiologi (RIA) di bawah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Di luar pengetahuan orang ramai, Penilaian Kesan Alam Sekitar Awal (PEIA) untuk Lynas tidak meliputi faktor radiasi dan kesihatan. Pada hakikatnya, PEIA tidak menjelaskan pengecualian aspek radiasi daripada skop EIA dalam pengenalannya. Sebaliknya, pengecualian itu hanya dinyatakan secara khusus dalam bab kemudian, contohnya Bab 8 ‘Ringkasan dan Rumusan’ (muka 8-13).

Sebagai tambahan, PEIA ada menyebut tentang Penilaian Kesan Radiologi (RIA) tetapi dalam keadaan yang tidak jelas. Contohnya, dalam Bab 2 PEIA, ia menyatakan ‘Agensi Nuklear Malaysia (MNA), perunding radiologi yang dilantik oleh Lynas pada ketika ini sedang berusa mengenal pasti dalam isu-isu keselamatan radiasi berhubung penyimpanan, pengendalian dan pengangkutan lanthamide’.

Pada akhir Bab 3, PEIA menyebut buat pertama kali bahawa sisa yang dihasilkan dalam operasi loji adalah berradioaktif dan penyimpanannya akan dilakukan menurut saranan berdasarkan kepada ‘Penilaian Kesan Radiologi’ MNA yang dijalankan untuk projek itu (muka 3-7).

Projek Lynas dengan segera mendapat kelulusan JAS Negeri Pahang, iaitu Cuma dalam tempoh dua atau tiga minggu selepas penyerahan cadangannya. JAS menerima PEIA pada 21 Januari 2008 dan diluluskan pada awal Februari. Bagi projek sebegitu komplek yang melibatkan bahaya radiasi dengan cadangan pengurusan, penyimpanan, dan pelupusan sisa yang kabur, kelulusan segera tersebut menimbulkan persoalan yang serius.

Ini terutamanya apabila PEIA diserahkan dan diluluskan, RIA mengenai isu keselamatan radiasi masih dalam proses sedang ditulis oleh MNA untuk diserahkan kepada AELB. Sehubungan dengan perkara ini, kami berasa bimbang:

Pertama, bagaimana PEIA boleh menyarankan Pilihan Binaan (muka 3-8) apabila isu keselamatan radiasi masih belum dipertimbangkan? Bagaimana JAS negeri meluluskan PEIA dengan keadaan tergesa-gesa?

Perlu diingat bahawa dalam PEIA, cadangan pengurusan sisa adalah kabur dan tidak mencukupi. Ia termasuklah perkara berikut:

  • Ruang untuk sel simpanan sisa bawah tanah amat terhad memandangkan air bawah tanah amat dekat dengan permukaan;
  • Kawasan itu juga mudah terjejas kepada mendapan kerana ia adalah bekas kawasan tanah paya;
  • Pelepasan sisa berbahaya ke dalam Sungai Balok dan seterusnya ke laut;
  • Sisa radioaktif beracun dan berbahaya yang sepatutnya disimpan dengan teliti dalam kolam khas dan sel simpanan di tapaknya tetapi dicadangkan untuk digunakan semula sebagai baja, konkrit, papan plaster, untuk jalan dan sebagainya (muka 5-58, 59).

Kedua, terdapat RIA yang bebas daripada PEIA bermakna kini wujud dua penilaian kesan yang selari dan bebas. Ini berbahaya kepada seluruh proses kajian semula. Di bawah undang-undang alam sekitar Malaysia, JAS adalah pihak berkuasa penyelaras utama terhadap isu berkaitan alam sekitar dan kesannya ke atas kesejahteraan rakyat negara ini. MNA dan AELB adalah penggalak teknologi nuklear dan ini mungkin menimbulkan konflik kepentingan memandangkan MNA adalah perunding yang menulis RIA untuk Lynas.

Oleh itu, sejauhmana berkesannya JAS dalam mencapai mandatnya untuk melindungi alam sekitar dan kesejahteraan rakyat negara ini? Sejauhmana bebas dan autonominya JAS daripada MNA dan AELB? Adakah dasar dan keputusan JAS akan menjadi kurang penting berbanding kepentingan AELB? Adakah JAS terpaksa menyerahkan peranannya kepada AELB dalam perkara yang berkaitan dengan nuklear dan isu yang berkaitan dengan radiasi dan kesannya? Persoalan ini amat penting terhadap kredibiliti proses kajian semula Lynas.

Ketiga, apakah penilaian RIA dan prosedur kelulusan di bawah AELB? Sementara proses EIA umum di bawah JAS diterbitkan secara meluas dan mudah diperolehi (contohnya dalam laman sesawang JAS), secara perbandingannya, proses RIA terus tidak diketahui. Agensi kerajaan manakah yang berada di dalam panel kelulusan RIA? Apakah kriteria untuk penilaian RIA? Kenapakah RIA dan kandungannya tidak dapat diperolehi untuk pemeriksaan pakar bebas?

Keempat, Lynas dikehendaki untuk memohon kepada AELB lesen yang berasingan untuk menduduki, pembinaan, pengimportan bahan radioaktif, penimbunan sisa radioaktif di tapak, operasi sementara dan operasi kekal. Adalah tidak jelas jika Lynas mempunyai semua lesen untuk beroperasi. AELB berkata hanya lesen menduduki dan pembinaan yang diluluskan.

Kelima, PEIA yang dilakukan dengan tergesa-gesa itu juga kekurangan penilaian sosio-ekonomi yang sempurna. Tiada Penilaian Manfaat Kos (CBA) dilakukan. Alasan utama yang diberikan dalam PEIA untuk saranan Pilihan Binaan untuk projek Lynas ialah pulangan ekonomi dan kewangan yang besar.

Kekurangan analisis sosio-ekonomi yang sempurna dan CBA membuktikan cadangan Pilihan Binaan adalah tidak betul. Contohnya, apakah nilai untuk kesihatan awam, pelancongan, perikanan dan industri lain di kawasan itu dan apakah yang akan berlaku apabila ia terjejas oleh projek Lynas? Mereka juga perlu mempertimbangkan contoh kesan kesihatan jangka panjang dalam kes Asian Rare Earth di Perak, dan industri nadir bumi di China.

Terdapat isu-isu penting yang perlu ditangani berhubung projek Lynas. Berdasarkan kepada perkara yang disebutkan di atas, CAP dan SAM menyarankan bahawa:

  • Projek Lynas dihentikan dalam usaha untuk menangani isu, termasuk Pelan Pengurusan Sisa (WMP) yang menurut pakar perlombongan Australia dilaporkan sebagai berkata, ‘masih belum didedahkan oleh Lynas)’ (http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/lynas-waste-plans-unclear-says-australian-mining-expert/);
  • Penilaian bersepadu dan telus perlu dilakukan untuk projek yang memerlukan EIA dan RIA. Ini boleh mencegah PEIA atau DEIA (EIA lengkap) diluluskan tanpa mengetahui sepenuhnya kesan keselamatan radiologi dalam RIA;
  • DEIA diperlukan mengikut undang-undang bagi sebarang projek yang memerlukan RIA, dengan itu memastikan proses kajian semula yang lebih teliti. Ini wajar, memandangkan aktiviti kurang berbahaya memerlukan penilaian kesan alam sekitar yang lengkap. Seterusnya, tidak seperti PEIA, DEIA memastikan penyertaan awam satu mandatori;
  • Analisis sosio-ekonomi yang sempurna diperlukan bagi semua EIA, sama ada peringkat awal atau terperinci;
  • Ahli politik (negeri dan persekutuan) seharusnya tidak membuat dakwaan bahawa projek kontroversi itu adalah selamat memandangkan pengesahan politik yang tidak bertauliah itu menjadikan kelulusan projek itu bersifat politik, amat berat sebelah dan berbahaya.

SM Mohamed Idris,

Presiden,

Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Sahabat Alam Malaysia

Sunday, May 22, 2011

TEKA TEKI IMAM GHAZALI

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya:



1) Imam Ghazali = "Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?

Murid 1 = "Orang tua"

Murid 2 = "Guru"
Murid 3 = "Teman"

Murid 4 = "Kaum kerabat “

Imam Ghazali = "Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah
MATI.
Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surah Ali-Imran :185).

2) Imam Ghazali = "Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?"

Murid 1 = "Negeri Cina"
Murid 2 = "Bulan"
Murid 3 = "Matahari"
Murid 4 = "Bintang-bintang"

Iman Ghazali = "Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU.
Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama."

3) Iman Ghazali = "Apa yang paling besar di dunia ini ?"

Murid 1 = "Gunung"
Murid 2 = "Matahari"
Murid 3 = "Bumi"

Imam Ghazali = "Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU.
Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.”
(Surah Al A’raf: 179).

4) Iman Ghazali= "Apa yang paling berat di dunia?"

Murid 1 = "Baja"
Murid 2 = "Besi"
Murid 3 = "Gajah"

Imam Ghazali = "Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH.
Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.” (Surah Al-Azab : 72)

5) Imam Ghazali = "Apa yang paling ringan di dunia ini?"

Murid 1 = "Kapas"
Murid 2 = "Angin"
Murid 3 = "Debu"
Murid 4 = "Daun-daun"

Imam Ghazali = Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat".

(Maksudnya ramai orang yang tidak beriman meringankan solat gara-gara sibuk dengan hal dunia sedangkan solat sepatutnya tidak boleh ditinggalkan).

6) Imam Ghazali = "Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?"

Murid- Murid dengan serentak menjawab = "Pedang!"

Imam Ghazali = "Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.